Rabu, 01 Januari 2014

Kisah Pendeta Yang Insaf


Kisah Pendeta Yang Insaf
Ibrahim al-Khawas ialah seorang wali Allah yang terkenal keramat dan dimakbulkan segala
doanya oleh Tuhan. Beliau pernah menceritakan suatu peristiwa yang pernah dialaminya.
Katanya, "Menurut kebiasaanku, aku keluar menziarahi Mekah tanpa kenderaan dan kafilah.
Pada suatu kali, tiba-tiba aku tersesat jalan dan kemudian aku berhadapan dengan seorang
rahib Nasrani (Pendita Kristian)."
Bila dia melihat aku dia pun berkata, "Wahai rahib Muslim, bolehkah aku bersahabat
denganmu?"
Ibrahim segera menjawab, "Ya, tidaklah aku akan menghalangi kehendakmu itu."
Maka berjalanlah Ibrahim bersama dengannya selama tiga hari tanpa meminta makanan
sehinggalah rahib itu menyatakan rasa laparnya kepadaku, katanya, "Tiadalah ingin aku
memberitakan kepadamu bahwa aku telah menderita kelaparan. Kerana itu berilah aku sesuatu
makanan yang ada padamu."
Mendengar permintaan rahib itu, lantas Ibrahim pun bermohon kepada Allah dengan berkata,
"Wahai Tuhanku, Pemimpinku, Pemerintahku, janganlah engkau memalukan aku di hadapan
seteru engkau ini."
Belum pun habis Ibrahim berdoa, tiba-tiba turunlah setalam hidangan dari langit berisi dua
keping roti, air minuman, daging masak dan tamar. Maka mereka pun makan dan minum
bersama dengan seronok sekali.
"Sesudah itu aku pun meneruskan perjalananku. Sesudah tiga hari tiada makanan dan minuman,
maka di kala pagi, aku pun berkata kepada rahib itu, "Hai rahib Nasrani, berikanlah ke mari
sesuatu makanan yang ada kamu. Rahib itu menghadap kepada Allah, tiba-tiba turun setalam
hidangan dari langit seperti yang diturunkan kepadaku dulu."
Sambung Ibrahim lagi, "Tatkala aku melihat yang demikian, maka aku pun berkata kepada rahib
itu - Demi kemuliaan dan ketinggian Allah, tiadalah aku makan sehingga engkau
memberitahukan (hal ini) kepadaku."
Jawab rahib itu, "Hai Ibrahim, tatkala aku bersahabat denganmu, maka jatuhlah telekan
makrifah (pengenalan) engkau kepadaku, lalu aku memeluk agama engkau. Sesungguhnya aku
telah membuang-buang masa di dalam kesesatan dan sekarang aku telah mendekati Allah dan
berpegang kepada-Nya. Dengan kemuliaan engkau, tiadalah dia memalukan aku. Maka
terjadilah kejadian yang engkau lihat sekarang ini. Aku telah mengucapkan seperti ucapanmu
(kalimah syahadah)."
"Maka sucitalah aku setelah mendengar jawapan rahib itu. Kemudian aku pun meneruskan
perjalanan sehingga sampai ke Mekah yang mulia. Setelah kami mengerjakan haji, maka kami
tinggal dua tiga hari lagi di tanah suci itu. Suatu ketika, rahib itu tiada kelihatan olehku, lalu
aku mencarinya di masjidil haram, tiba-tiba aku mendapati dia sedang bersembahyang di sisi
Kaabah."
Setelah selesai rahib itu bersembahyang maka dia pun berkata, "Hai Ibrahim, sesungguhnya
telah hampir perjumpaanku dengan Allah, maka peliharalah kamu akan persahabatan dan
persausaraanku denganmu."
Sebaik saja dia berkata begitu, tiba-tiba dia menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu
pulang ke rahmatullah. Seterusnya Ibrahim menceritakan, "Maka aku berasa amat dukacita di
atas pemergiannya itu. Aku segera menguruskan hal-hal pemandian, kapan dan
pengebumiannya. Apabila malam aku bermimpi melihat rahib itu dalam keadaan yang begitu
cantik sekali tubuhnya dihiasi dengan pakaian sutera yang indah."
Melihatkan itu, Ibrahim pun terus bertanya, "Bukankah engkau ini sahabat aku kelmarin, apakah
yang telah dilakukan oleh Allah terhadap engkau?"


Dia menjawab, "Aku berjumpa dengan Allah dengan dosa yang banyak, tetapi dimaafkan dan
diampunkan-Nya semua itu kerana aku bersangka baik (zanku) kepada-Nya dan Dia menjadikan
aku seolah-olah bersahabat dengan engkau di dunia dan berhampiran dengan engkau di
akhirat."
Begitulah persahabatan di antara dua orang yang berpengetahuan dan beragama itu akan
memperolehi hasil yang baik dan memuaskan. Walaupun salah seorang dahulunya beragama
lain, tetapi berkat keikhlasan dan kebaktian kepada Allah, maka dia ditarik kepada Islam dan
mengalami ajaran-ajarannya."

Tidak ada komentar:

Posting Komentar